KARANGAN: NOTA

TEKNIK MENJAWAB KARANGAN (BAHAGIAN A)
Untuk karangan SPM bahagian A, isi selalunya telah diberikan dalam bentuk grafik atau bahan ransangan.

  • Bagi karangan A, iaitu karangan yang memerlukan anda menulis antara 200-250 patah perkataan
  • Pastikan anda tidak menulis melebihi 250 patah kata kerana tulisan selepas 250 patah perkataan tidak akan diambil kira. Tuliskan jumlah perkataan yang betul.
  • Dicadangkan, 3 isi dengan jumlah 60 patah perkataan untuk setiap perenggan jadi jumlah 180 patah perkataan.
  • 30 patah perkataan untuk pendahuluan dan 30 patah perkataan untuk penutup, jadi jumlah besar ialah 240 patah perkataan.
  • Rancang perenggan anda dengan hati-hati. Ini sangat penting. Pemerenggan sangat penting.
  • Tuliskan fakta dengan jelas. Isi/fakta itu mesti menjawab soalan yang diberikan. Isi yang umum akan menyebabkan markah anda tidak mendapat kepujian atau cemerlang.
  • Jangan lupa masukkan peribahasa dalam karangan sekurang-kurangnya satu tetapi peribahasa tersebut mestilah tepat dan relevan dengan isi atau ayat tersebut. Kalau dapat memetik kata-kata pemimpin atau isu-isu semasa  yang di petik dari akhbar atau televisyen lebih baik kerana anda peka dengan isu-isu semasa.
  • Karangan yang cemerlang ialah karangan yang dapat memperlihatkan kematangan calon.
  • Walau bagaimanapun, markah tidak akan ditolak walaupun melebihi 250 patah perkataan.

Beberapa tajuk yang perlu diberi perhatian ( TAJUK SELALUNYA DARIPADA BUKU TEKS):

  • Isu pendidikan
  • Pelancongan ( Inap Desa)
  • Pemeliharaan bangunan bersejarah
  • Pelaburan dan tabungan
  • Kenaikan harga barang-barang
  • Pendatang tanpa izin
  • Penggunaan bahasa Inggeris
  • Masalah sosial dalam kalangan remaja
  • Pencemaran alam
  • Keselamatan kanak-kanak
  • Memartabatkan Bahasa Melayu
  • Kemalangan jalan raya
  • Perkembangan perhubungan dan komunikasi
  • Bioteknologi
  • Semangat kejiranan
  • Gaya hidup sihat
  • Hubungan kasih sayang ( Keluarga)
  • Membaca

Aspek-aspek Yang Dinilai


  1. Karangan menepati tema bahan rangsangan.
  2. Pengolahan isi, gaya bahasa, penyampaian isi dan kematangan isi dikembangkan.
  3. Ejaan dan struktur ayat.
  4. Peribahasa, cogan kata atau ungkapan menarik yang digunakan.
  5. Isi yang ditulis sama ada yang tersurat atau tersirat.
  6. Pendahuluan atau pengenalan.
  7. Penutup atau kesimpulan karangan.
  8. Tulisan yang jelas.
  9. Pemerengganan.
  10. Kesantunan bahasa.

Beberapa Kelemahan Yang Perlu Calon Elakkan


  1. Pengenalan tidak menarik.
  2. Isi tidak menepati tema.
  3. Isi tidak dihuraikan.
  4. Huraian yang tidak bertepatan dengan isi pokok.
  5. Perenggan tidak disusun dengan sempurna.
  6. Tulisan buruk sehingga sukar dibaca.
  7. Bahasa yang berbelit-belit dan ayat terlalu panjang.
  8. Penggunaan perbendaharaan kata yang terhad.
  9. Hanya menghuraikan isi tersurat sahaja.
  10. Banyak kesalahan ejaan.
  11. Isi yang diulang-ulang.
  12. Kesalahan tatabahasa seperti sendi nama di, dari dan daripada.

CARA MENGEMBANGKAN PERENGGAN ISI

PANDUAN:
Dua elemen yang perlu diambil perhatian setiap kali membina dan mengembangkan perenggan isi ialah

A. PERENGGAN EMPAT UNSUR

Setiap perenggan isi hendaklah mempunyai 4 unsur berikut:

1. Unsur 1 (ayat utama)


  • Mesti menjawab tugasan yang diberikan dalam soalan.
  • Gunakan ayat mudah.
2. Unsur 2 (ayat huraian)


  • Pengembangan isi berdasarkan isi utama.
  • Boleh merangkumi aspek persoalan ( Bagaimana, Mengapa, Di mana)
  • Penanda wacana yang sesuai.
  • Gunakan kosa kata, ungkapan atau frasa menarik
3. Unsur 3 (ayat contoh)

    Bukti penyokong kepada isi utama dalam bentuk:


  • Data statistik
  • Pendapat orang yang sangat dikenali ramai dan dihormati
  • Penemuan atau kajian saintifik.
  • Contoh langsung
4. Unsur 4 (ayat penegas)

    Sebagai kesimpulan untuk sesuatu isi yang dikemukakan


  • Penutup kepada perenggan
  • Menegaskan semula isi utama
  • Menggunakan penanda

B. AKSESORI KARANGAN

1. Kosa Kata Menarik

2. Penanda Wacana Menarik

3. Ungkapan Menarik

4. Frasa Menarik


CONTOH:

Salah satu cara untuk membendung masalah sosial dalam kalangan remaja ialah peranan institusi keluarga (AYAT UTAMA). Institusi keluarga merupakan elemen (KOSA KATA MENARIK) yang rapat dengan remaja. Sehubungan itu, (PENANDA WACANA) hubungan yang rapat ibarat isi dengan kuku (UNGKAPAN MENARIK) membolehkan institusi keluarga mengenali, mengawasi dan menasihati remaja. Selain itu, institusi keluarga hendaklah mewujudkan suasana harmoni di rumah kerana rumah merupakan asas kepada kehidupan berkeluarga (FRASA MENARIK). Sebarang bentuk pertengkaran hendaklah dihindarkan sebaliknya, ketua keluarga harus mengambil langkah untuk merancang sesuatu yang membina kepada ahli keluarganya seperti bersembahyang dan makan bersama. (AYAT HURAIAN)


Pakar motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadhillah Kamsah menyatakan institusi keluarga merupakan entiti penting bagi mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja (AYAT CONTOH). Sejajar dengan itu, remaja sememangnya memerlukan perhatian maka, adalah penting bagi institusi keluarga untuk memainkan peranan yang utama agar masalah sosial dalam kalangan remaja dapat dibendung. Oleh itu, memang tidak dinafikan bahawa peranan institusi keluarga merupakan satu cara bagi membendung masalah sosial remaja (AYAT PENEGAS).





TEKNIK MENULIS KARANGAN UMUM (BAHAGIAN B )
Jenis-jenis Karangan 
Karangan umum terdiri daripada karangan berformat dan tidak berformat.
1. Karangan Berformat 
-Karangan dalam bahagian ini terdiri daripada syarahan, ucapan, ceramah, perbahasan, rencana, laporan, surat kiriman rasmi, surat kiriman tidak rasmi, wawancara, ulasan buku, cerpen dan drama.
Setiap bentuk karangan ini mempunyai ciri-ciri tersendiri, seperti berikut:

1. Perbahasan, ceramah, syarahan, ucapan
(menghadap majlis/kata alu-aluan, penghargaan kepada audien seperti ucapan tuan-tuan dan puan-puan, penutup)
2. Surat kiriman rasmi
(nama dan alamat pengirim, nama dan alamat penerima, tarikh, menghadap surat, tajuk, tandatangan)
3. Rencana, laporan, cerpen
(tajuk, nama penulis)
4. Wawancara
(pendahuluan, berbentuk dialog)
5. Ulasan buku
(judul buku, nama penulis, nama penerbit, nama pengulas)
6. Skrip drama
(judul drama, nama penulis, latar tempat/masa, dialog)


2. Karangan Tidak Berformat
-Karangan tidak berformat merangkumi kategori penulisan yang berikut, iaitu perbincangan/bincangkan, perbahasan/bahaskan, ulasan, komen, fakta, pendapat, penjelasan/jelaskan, cadangan, gambaran/imaginasi.


MENULIS PENDAHULUAN KARANGAN 
Jenis-jenis pendahuluan :-
(i) pendahuluan jenis definisi
(ii) pendahuluan jenis pendapat
(iii) pendahuluan jenis suasana
(iv) pendahuluan jenis persoalan
(v) pendahuluan jenis peribahasa
PENDAHULUAN JENIS DEFINISI
-Memberikan takrif makna dan definisi
            Contoh : Jenayah ditakrifkan sebagai perbuatan yang melanggar undang-undang atau        peraturan.Jenayah bukan sahaja membabitkan orang dewasa malahan golongan remaja             juga. Menurut kajian polis, jumlah kes jenayah telah bertambah daripada 40 021 kes            pada tahun 1997 kepada 43 210 kes pada tahun 1998 Di samping itu, kesalahan yang   dilakukan juga semakin serius dari semasa ke semasa.
PENDAHULUAN JENIS PENDAPAT
-Menyatakan pendapat seseorang tokoh
            Contoh : Menurut Y.A.B Datuk seri Dr. Mahathir Mohamad, pencemaran alam sekitar      berpunca daripada kegiatan pembangunan. Walau bagaimanapun pembangunan tidak   boleh dihentikan sama sekali. Apa yang perlu adalah dengan mengurangkan            pencemaran tetapi dalam masa yang sama meneruskan pembangunan.
PENDAHULUAN JENIS SUASANA
-Menggambarkan sesuatu melalui suasana yang sesuai.
            Contoh : Bas yang berhawa dingin terus berlalu menyusur jalan yang bengkang-     bengkok dengan perlahan sekali. Rasa mual dan mengantuk hilang apabila kami                       dihiburkan oleh abang-abang yang memandu kami . sepanjang perjalanan ke puncak           Bukit Fraser , sepasang anak mataku sempat mengintai hutan rimba yang akan kami           lalui nanti.
PENDAHULUAN JENIS PERSOALAN
-Mengemukakan beberapa ayat tanya yang berkaitan dengan tajuk
            Contoh: Setiap orang memerlukan kecemerlangan untuk menjamin kejayaan bagi diri         mereka. Apakah yang dikatakan kecemerlangan ? Apakah dengan kecemerlangan     boleh membuatkan seseorang itu berjaya ? Apakah dengan berdiam diri sahaja tanpa      sebarang usaha seseorang itu boleh mencapai kecemerlangan ? Soalnya , apakah             faktor-faktor yang mempengaruhi kecemerlangan ?

PENDAHULUAN JENIS PERIBAHASA
-Memasukkan satu atau lebih peribahasa Melayu yang sesuai.
            Contoh: Peribahasa Melayu ' ringan sama dijinjing, berat sama dipikul' dan 'seperti aur       dengan tebing ' amat sesuai ke arah mewujudkan masyarakat penyayang yang          anggota-anggotanya mengamalkan sifat-sifat yang mengambarkan wujudnya          hubungan kasih sayang dalam sesebuah komuniti.


MENULIS PERENGGAN ISI
Jenis-jenis perenggan:
- perenggan deduktif
- perenggan induktif
- perenggan gabungan induktif dan deduktif

PERENGGAN DEDUKTIF
-Isi penting huraian isi contoh-contoh
            Contoh soalan : Laporan tentang punca-punca pelajar kurang berminat menggunakan         perpustakaan sekolah. Punca pertama, walaupaun pihak perpustakaan telah cuba sedaya upaya mendapatkan buku-buku untuk kegunaan pelajar, tetapi kebanyakan buku yang disediakan sudah terlalu lama. Isi buku-buku tersebut sudah ketinggalan      zaman dan tidak dapat memenuhi keperluan pelajar. lagipun terdapat banyak buku             yang mengalami kerosakkan . Contohnya , masih tedapat buku-buku yang diterbitkab    pada tahun 60-an dan 70-an. Isi Buku yang disediakan sudah terlalu lama Huraian Isi            buku-buku tersebut sudah ketinggalan zaman dan tidak dapat memenuhi keperluan     pelajar. Lagipun tedapat banyak buku yang mengalami kerosakkan. Sebagai ontohnya,             masih terdapat buku-buku yang diterbitkan pada tahun 60-an dan 70-an.

PERENGGAN INDUKTIF
-Huraian isi contoh-contoh isi penting
            Contoh soalan : Sebab-sebab berlakunya kemalangan jalan raya. Selekoh yang tajam ,        jalan berlopak, cahaya lampu, cahaya matahari, dan hujan juga merupakan punca    terjadinya kemalangan jalan raya . Misalnya, jalan menuju ke Genting         Highland         mempunyai banyak selekoh yang tajam dan berbahaya kepada pengguna jalan            tersebut. Jelaslah kepada kita bahawa factor alam dan keadaan jalan raya itu sendiri           juga merupakan punca berlakunya kemalangan jalan raya di negara ini. Huraian Selekoh yang tajam , jalan belopak, cahaya lampu, cahaya matahari, dan hujan juga         merupakan punca terjadinya kemalangan jalan raya. Contoh Misalnya, jalan menuju           ke Genting Highlands Isi Jelaslah kepada kita bahawa faktor alam dan keadaan jalan             raya itu sendiri juga merupakan punca berlakunya kemalangan jalan raya di negara ini.
PERENGGAN GABUNGAN INDUKTIF DAN DEDUKTIF
-Isi penting huraian isi contoh-contoh isi penting
            Contoh Soalan: Mengatasi masalah inflasi. Akhirnya, usaha yang sepatutnya          dilakukan oleh kerajaan dalam menangani masalah ini ialah melalui kempen. Kempen           yang dijalankan secara bersungguh-sungguh serta mendapat sokongan daripada semua pihak sudah tentu akan memberi kesan dan kesedaran yang positif kepada para             pengguna. Misalnya , dengan menghidupkan semula laungan, "Belilah Barangan    Buatan Malaysia". Oleh itu, kempen –kempen yang terancang hendaklah dilaksanakan         dengan kadar yang segera agar pengguna dapat disedarkan daripada lena yang           panjang. Isi Akhirnya, usaha yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan dalam             menangani masalah ini ialah melalui kempen. Huraian Kempen yang dijalankan secara       bersungguh-sungguh serta mendapat sokongan daripada semua pihak sudah tentu akan             memberi kesan dan kesedaran yang positif kepada para pengguna. Contoh misalnya ,         dengan menghidupkan semula laungan, "Belilah Barangan Buatan Malaysia". Isi Oleh             itu, kempen-kempen yang terancang hendaklah dilaksanakan dengan kadar yang      segera agar pengguna dapat disedarkan daripada lena yang panjang.

MENULIS PERENGGAN PENUTUP -
-Kesimpulan mestilah lembut tetapi berkesan -
Jangan mengulangi isi-isi yang telah dikemukakan -
Gunakan penanda wacana yang sesuai
Contoh :-
(i) Kesimpulannya, kita perlulah berhati-hati apabila menerima kedatangan pekerja asing kerana pelbagai masalah sosial yang dibawa oleh mereka. Mereka seharusnya ditapis sebelum diterima bekerja di sini.
(ii) Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama menjadi pengguan yang bijak dan bergabung tenaga untuk membanteras inflasi.Ini sejajar dengan wawasan Perdana Menteri kita yang berkeyakinan bahawa inflasi di Malaysia boleh mencapai nilai 0%.
(iii) Jelaslah kepada kita bahawa semua pihak memainkan peranan yang penting dalam usaha membantu kerajaan membendung masalah inflasi merupakan masalah kita bersama. Masalah inflasi tidak akan menjadi gawat dan membimbangkan sekiranya semua pihak mempunyai kesedaran.
(iv) Natijahnya, sektor perindustrian bukan sahaja mendorong pertumbuhan ekonomi Negara malah mengembleng tenaga belia ke arah penerokaan suatu bidang baru . Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya harus diambil oleh pihak kerajaan bagi membendung pelbagai masalah negatif dalam sektor ini untuk menjamin keutuhan dan kejayaannn sektor perindustrian di Malaysia.
(v) Pada keseluruhannya, lawatan sambil belajar itu sungguh berjaya. Menurut beberapa orang ahli yang ditemu ramah, mereka sedar bahawa kegiataan penubaan ikan merupakan satu cara yang tidak bermoral. Sebaliknya , penternakan ikan di dalam sangkar perlu digalakkan bagi mendapatkan hasil yang lumayan di samping dapat mengelakkan keracunan dan pencemaran sungai.


PANDUAN MEMBUAT PERENGGAN :

Untuk menghasilkan perenggan yang baik dan berkesan :
1. Tentukan ayat-ayatnya berkait.
2. Ada kesatuan dan pertautan isi.
3. Kesatuan hanya dapat dicapai jika isi yang berkait sahaja dipilih.
4. Pertautan pula dapat dicapai dengan menggunakan penanda wacana. Contohnya: selain itu, tambahan lagi, di samping itu, juga, seterusnya dan selanjutnya.

PERENGGAN DALAM KARANGAN RESPONS TERBUKA.
1. Perenggan pengenalan
2. Perenggan isi
3. Perenggan kesimpulan

PERENGGAN PENGENALAN :
Terdapat dua jenis ayat dalam perenggan pengenalan karangan respons terbuka iaitu :
1. Ayat rangsangan.
2. Ayat arah.

AYAT RANGSANGAN :
Ayat rangsangan ialah ayat yang berkaitan dengan tema atau soalan karangan. Kebiasaannya, ayat 1 hingga ayat 4 pengenalan merupakan ayat rangsangan (AR). Ayat rangsangan tidak membincangkan perkara yang akan disentuh dalam perenggan isi.

Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?
(AR1) : Dalam tempoh 10 tahun belakangan ini, peperangan telah berlaku di merata-rata kawasan di dunia ini.
(AR2) : Peperangan ini melibatkan negara-negara yang berjiran atau negara-negara yang mempunyai idealogi yang bertentangan.
(AR3) : Peperangan juga berlaku disebabkan oleh sikap sesetengah kuasa besar yang ingin menguasai negara kecil demi memenuhi kepentingan ekonomi mereka atau amaran kepada negara lain.
(AR4) : Dalam akhir abad yang lalu, negara Bosnia telah berperang dengan negara Serbia, Amerika Syarikat telah menyerang negara Afganistan dan Iraq, dan banyak lagi.

AYAT ARAH :
Ayat arah ialah ayat yang menjawab soalan karangan. Ayat ini ialah ayat yang menjurus kepada kehendak karangan atau ayat yang menyatakan fokus utama perbincangan karangan.
Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?

Ayat arah :
Kesemua siri peperangan yang berlaku ini sebenarnya banyak menimbulkan kesan yang negatif, baik kepada negara mahupun kepada masyarakat dunia yang lain.

PERENGGAN ISI :
1. APAKAH AYAT TOPIK ?
Ayat topik menyatakan isi utama yang ingin disampaikan dalam sesuatu perenggan. Ayat topik mempunyai perkara pokok atau satu aspek yang ingin dinyatakan tentang perkara pokok tersebut. Biasanya pernyataan sesuatu aspek itu akan dapat memberikan fokus kepada penulis dan pembaca. Ayat topik bertindak sebagai satu kawalan dalam penulisan isi (isi sokongan) dalam sesuatu penulisan.

2. APAKAH AYAT HURAIAN ?
Ayat topik perlu disokong oleh ayat huraian yang terdiri daripada isi sokongan. Isi sokongan pula boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti fakta, pendapat, peristiwa, sebab dan akibat, statistik dan contoh. Biasanya, isi sokongan dapat memberikan bukti, menghuraikan idea atau menjawab soalan yang dikemukakan oleh isi utama dalam ayat topik, dan isi tersebut mestilah berkait antara satu sama lain. Dalam penghasilan isi dan penulisan ayat huraian, isi kawalan dalam ayat topik menjadi dasar utama.

3. APAKAH AYAT PENYIMPUL ?
Ayat penyimpul terdiri daripada tiga jenis iaitu :
1. Ayat yang menyatakan semula ayat topik.
2. Ayat yang menyimpul keseluruhan isi dalam perenggan.
3. Ayat menyimpul yang menghubungkan perenggan.

4. MASUKKAN PERIBAHASA ATAU UNGKAPAN MENARIK YANG RELEVEN DENGAN TOPIK YANG DISENTUH.
Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?
Contoh peribahasa/ ungkapan yang boleh digunakan:
1. Kalah jadi abu, menang jadi arang.
2. Jong pecah yu kenyang.
3. Kalau terbakar padang, maka terbakar belalang.
4. Air mata jatuh ke perut.

PERENGGAN PENUTUP :
Penutup merupakan kesimpulan daripada huraian yang telah ditulis dalam perenggan isi. Penutup merupakan rumusan menyeluruh yang merangkumkan keseluruhan karangan dalam satu penerangan yang padat. Tanpa kesimpulan, karangan berkenaan dikatakan tidak lengkap atau tidak sempurna.

JENIS AYAT DALAM PERENGGAN PENUTUP:
1. Ayat kesimpulan umum
2. Ayat pendapat
3. Ayat cadangan
4. Ayat komen
5. Ayat penilaian
6. Ayat harapan
7. Ayat penutup

Ayat kesimpulan umum : Masalah disiplin.
Tuntasnya, jelaslah bahawa masalah disiplin yang berlaku dalam karangan murid di sekolah disebabkan oleh kurangnya kasih sayang daripada keluarga.

Ayat pendapat : Kesan peperangan.
Kesimpulannya, semua peperangan yang berlaku di mana-mana bahagian dunia ini banyak membawa kesan buruk, baik kepada negara itu sendiri mahupun kepada negara lain.

Ayat cadangan : Kesan peperangan.
Oleh itu, setiap pihak atau negara yang berkenaan mestilah mencari jalan yang terbaik atau berunding supaya peperangan dapat dielakkan.

Ayat komen : Ulasan cerpen.
Cerpen ini mampu untuk memberikan kesedaran, khususnya kepada remaja, betapa kejayaan dapat dicapai oleh sesiapa sahaja jika ada kesungguhan, kecekalan, semangat, dan kemahuan yang tinggi.

Ayat penilaian : Kesan peperangan.
Jika langkah ini tidak diambil, negara di seluruh dunia akan menghadapi masalah atau menerima kesan daripada peperangan tersebut.

Ayat harapan : Kepentingan perpaduan.
Jadi, rakyat harus sedar akan kepentingan perpaduan kerana sekali perpaduan itu runtuh, maka susah untuk mewujudkannya semula.Ingatlah pepatah Melayu yang mengatakan bahawa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Ayat Penutup: Kesan peperangan
Peperangan merupakan kejadian yang sia-sia kerana peperangan ini tidak membawa kebaikan kepada mana-mana pihak seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu kalah jadi abu, menang jadi arang.




FRASA MENARIK YANG BOLEH DIGUNAKAN UNTUK MENULIS KARANGAN 

-mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah dan berkembang
-mendukung kebenaran yang kita sepakati
-mengamalkan sikap dan perwatakan yang murni
-mengambil langkah sederap
-menghirup udara hasil kemerdekaan
-mengikut acuan sendiri
-mengundang kontroversi
-menjadi cerucuk utama pembangunan
-menjulang negara ke puncak jagat
-menuntut setiap anak watan mengotakan aspirasi
-menyambut gamitan menara impian
-menyebabkan imej negara tercalar
-menyediakan kursus dan latihan yang relevan
-menyembunyikan masalah utama masyarakat
-mereka lebih cenderung kepada keseronokan dan berpeleseran
-mewujudkan masyarakat yang bermaklumat dan berpengetahuan
-milineum baru ini pasti sahaja sarat dengan muatan cabaran reformasi
-muafakat merupakan inti kepada perpaduan
-negara kita akan bersih daripada unsur sosial yang tidak sihat
-nilai keinsanan yang syumul
-nilai-nilai material semakin memberkas dan meluas dalam masyarakat
-pandangan pro dan kontra yang dipaparkan
-pelbagai cabaran yang bakal menghambat
-pelbagai masalah sosial sedang menghinggapi masyarakat
-pembentukan masyarakat sakinah
-pembudayaan ilmu perlu dipupuk dan dibajai oleh generasi muda masa kini
-pendedahan oleh pihak media massa menghangatkan senario ini
-perlu dibaja kembali
-perubahan yang diharap masih belum menjelma
-petanda kehancuran generasi
-pewujudan masyarakat madani-propaganda negatif terhadap negara kita dapat ditepis
-kita perlu mengorak langkah
-kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini
-komitmen menyeluruh agensi yang terlibat
-kongkongan yang selama ini dianggap membelenggu
-Masalahnya, kita mahu memberi pendapat tetapi tidak rela dikritik
-makmur dari segi ekonomi tetapi muflis nilai kekeluargaan
-mampu mengadunkan satu kombinasi usaha yang cukup padu
-manifestasi kesanggupan bangsa
-manusia bukanlah `haiwan robotik’ yang tidak mempunyai rasa dan jiwa
-masa depan menjanjikan cabaran di luar jangkaan
-masalah putusnya komunikasi dan jurang generasi
-masalah sosial dan susila yang meruncing
-masih terbelenggu dengan cara berfikir yang sempit
-masyarakat yang naif dengan mata kebendaan yang melalaikan
-melangkah dengan seribu kekuatan
-melontarkan soalan yang cukup penting
-melupakan cita-cita yang lebih luhur
-membangunkan generasi yang berketerampilan, bersahsiah mulia dan berilmu
-membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kegelapan
-membenam budaya hedonistik yang tidak berfaedah
-membetulkan ketidaktepatan fakta
-membimbing mereka memenuhi impian
-membina impian masa depan yang lebih gemilang
-membongkar kepincangan
-membuktikan sensitiviti, kepekaan dan keprihatinan mereka
-mempengaruhi minda generasi muda
-mempertahankan perasaan saling bersefahaman
-mempertingkat dan memperteguh kefahaman
-mempraktikkan elemen tolak ansur
-memudaratkan kesejahteraan rakyat
-menabur bakti kepada mereka yang kurang beruntung
-menaburkan nilai kebendaan yang tidak bertahan lama
-menagih komitmen dan pengertian serius semua pihak
-menampilkan wajah baru yang disulami tekad
-menangkis tuduhan yang tidak berasas
-mencapai tahap yang mencemaskan
-mencerminkan dengan jelas akan hakikat ini
-mencerminkan generasi yang muflis dan tercabut daripada akar tradisinya
-mendapat perhatian dan liputan media massa
-mendepani masa depan yang tidak menentu

KATA-KATA HIKMAT DIGUNAKAN DALAM KARANGAN


1. baik kaya ialah kaya hati,sebaik-baik bekal ialah takwa,seburuk-buruk buta ialah buta hati dan sebesar-besar dosa ialah berdusta.
2. Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang,bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. (Hamka).
3. Orang yang takut menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju. ~Horne
4. Yang dikatakan kawan bukanlah orang yang sentiasa memuji-muji kamu, tetapi adalah orang yang dapat menunjukkan kesalahan kamu.
5. Kalau hidup ingin merdeka, Tiada tercapai hanya berkata, Ke muka maju sekata, maju kita,elemparkan jauh jiwa hamba. ~Usman Awang
6. "Dan berbuatlah kamu akan kebaikan supaya kamu mendapat kemenangan." ~Surah al-Hajj:77
7. "Maka sifat sabar itu adalah sikap yang baik, dan hanya Allah sajalah tempat meminta pertolongan" ~Surah Yusuf:18
8. Berunding cerdik dengan pandai, faham dua menjadi satu.
9. Yang paling kita perlukan dalam kehidupan ialah adanya seseorang yang selalu memberi semangat untuk melaksanakan hal-hal yang dapat kita kerjakan. ~Davey John Schwartz
10. "Peristiwa itu memberi pengajaran kepada saya mengenai bagaimana guru besar perlu bersikap profesional dan tidak menggunakan emosi dalam melakukan tindakan."~Tengku Habsah Tengku Petera (Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan)
11. "Satu perkara yang menakutkan saya pada masa ini ialah peningkatan gejala rasuah.Secara umumnya, lebih tinggi rasuah yang ada, lebih kurang kemerdekaan yang dimiliki." ~Profesor Diraja Ungku Aziz
12. Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat.
13. Lebih berharga mutiara sebutir daripada pasir sepantai.
14. Terbang bangau sepanjang hari, ke tasik jua akhirnya dicari.
15. Biar kamu tidak cantik di mata penduduk bumi tetapi namamu menjadi perbualan penduduk langit.
16. Siapa yang banyak bicara, banyak pula salahnya; siapa yang banyak salah, hilanglah harga dirinya; siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak; sedangkan orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati. ~ Saidina Ali Abu Talib
17. Sabda Rasulullah s.a.w: "Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu."
18. Kita sering mengimbas kembali kenangan lalu tetapi jarang sekali berusaha untuk mengejar impian hari esok.
19. Manusia yang berbuat baik dengan mengharapkan sesuatu balasan bukanlah manusia yang jujur.Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh dengan agama Allah. (surah Al-Baqarah:214)
20. Kekitaan yang erat tiada yang berat.
21. Belajarlah berdiri dahulu sebelum cuba untuk berlari.
22. Orang bakhil tidak akan terlepas daripada salah satu daripada empat sifat yang membinasakan iaitu; dia akan mati dan hartanya akan diambil warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan
digunakan untuk kejahatan atau; adakalanya harta itu akan dicuri dan digunakan untuk berfoya-foya. - SAIDINA ABU BAKAR
23. Kekayaan yang hilang boleh dikejar dengan usaha yang bersungguh-sungguh.Kesihatan yang hilang boleh diperolehi dengan ubat-ubatan yang baik tetapi masa yang hilang sekali hilang akan terus hilang.
24. Jadilah seperti pohon kayu yang berbuah lebat, dibaling dengan batu dibalas dengan buah.
25. Tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati.

No comments:

Post a Comment