RUMUSAN: CONTOH SOALAN DAN JAWAPAN

LATIHAN 1

LATIHAN 2

CONTOH RUMUSAN MANTAP

LATIHAN 1

Baca Petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang tindakan mengatasi masalah disiplin murid di sekolah dan kesan masalah itu kepada negara. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.




Pada masa ini Kementerian Pelajaran Malaysia sedang berusaha untuk memperkasakan pendidikan di negara kita kerana pendidikanlah yang akan menentukan hala tuju sesebuah negara. Menerusi pendidikan juga kita akan dapat melahirkan pemimpin yang berwibawa, berkaliber dan kenal jati diri. Walau bagaimanapun, hasrat murni kementerian ini menghadapi beberapa kekangan,antaranya termasuklah disiplin murid di sekolah-sekolah.

            Untuk mengatasi masalah ini, kementerian telah menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Gejala Disiplin. Sehingga penghujung tahun 2004, sebanyak 250 pendapat awam diterima di samping ratusan aduan yang dikategorikan dalam masalah salah laku murid. Tindakan lain yang diambil oleh Kementerian Pelajaran adalah dengan membuka talian penting dan e-mel untuk mangsa buli dan keganasan di sekolah. Dengan cara ini, Kementerian Pelajaran akan mendapat maklumat tentang masalah disiplin dengan lebih tepat. Ibu bapa dan orang awam boleh membuat aduan tentang masalah disiplin. Selain itu , maklumat boleh disalurkan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kepada pegawai yang bertanggungjawab.

Bagi menangani masalah disiplin yang berat, pihak sekolah dibenarkan untuk mendapatkan bantuan daripada polis. Sekiranya perlu, pihak polis dibenarkan untuk menahan murid yang berada di luar kawasan sekolah pada waktu persekolahan. Kementerian Pelajaran telah mengingatkan pihak sekolah bahawa mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib jika menyembunyikan kes disiplin yang berlaku di sekolah masing-masing. Hal ini demikian kerana Kementerian Pelajaran menerima laporan bahawa terdapat pihak pentadbir sekolah, terutamanya sekolah yang berstatus elit, cuba menutup kes disiplin di sekolah mereka.

Sebenarnya masalah disiplin yang berlaku ini boleh ditangani menerusi prosedur yang sedia ada seperti mengenakan hukuman rotan, denda,gantung sekolah dan buang sekolah. Namun demikian, sebelum hukuman dikenakan, setiap kes itu mestilah disiasat puncanya terlebih dahulu. Tindakan ini diambil supaya kita dapat berlaku adil kepada murid tersebut kerana ada murid yang melakukan kesalahan disiplin semata-mata kerana ingin akan perhatian dan mereka sebenarnya bukan penjenayah. Kita akui bahawa masa depan negara amat bergantung pada kejayaan dan kemantapan sistem pendidikan. Kemantapan ini pula bergantung pada kecemerlangan kakitangan Kementerian Pelajaran melaksanakan peranan masing-masing. Dengan itu, akan tercapailah hasrat negara untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada
“Realiti Semasa Masalah Disiplin      
Pelajar” Oleh Noor Khairiyati Mohd. Ali Dewan Masyarakat, April 2005)




Contoh Jawapan:
           
            Petikan membincangkan langkah-langkah menangani masalah disiplin di negara kita.        
            Langkah-langkahnya ialah Kementerian Pelajaran menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Gejala Disiplin.  Selain itu, Kementerian Pelajaran membuka talian penting dan e-mel untuk mangsa buli dan keganasan di sekolah .  Seterusnya, ibu bapa dan orang awam boleh membuat aduan tentang masalah disiplin murid.  Selanjutnya,  sekolah dibenarkan mendapatkan bantuan daripada pihak polis.  Selain itu, pihak polis dibenarkan menahan murid yang berada di luar kawasan sekolah pada waktu persekolahan.
           
            Kesan masalah itu kepada negara ialah hasrat negara melahirkan warganegara yang baik akan terjejas.  Selain itu, keyakinan orang ramai terhadap institusi pendidikan negara menjadi luntur.

            Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu bekerjasama dalam menangani masalah disiplin supaya kita dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang sejahtera.

                                                                                                                     [111 Patah Perkataan]
LATIHAN 2

Baca petikan yang diberi di bawah, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang menyebabkan Malaysia menjadi tumpuan pekerja asing dan kesan-kesannya. Panjang rumusan tidak boleh lebih 120 patah perkataan.

            Kebanyakan media menganggarkan jumlah pekerja asing di negara kita telah melebihi dua juta orang. Daripada jumlah tersebut, sebahagian besarnya pula adalah bertumpu di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Kebanyakan daripada mereka adalah pendatang asing yang datang dari negara jiran seperti Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Nepal. Tumpuan mereka adalah dalam sektor pembinaan, perindustrian, perladangan dan pembantu rumah. Kedatangan golongan ini sedikit sebanyak telah memberi kesan negatif khususnya dalam segi pekerjaan penduduk tempatan dan pembangunan negara. Sebab utama mereka bertumpu ke negara kita adalah untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik berbanding dengan di negara asal mereka.
            Selain itu, matlamat utama mereka bertumpu ke Malaysia adalah disebabkan banyak pekerjaan yang terdapat di sini memberi pendapatan yang tinggi. Rata-rata golongan ini mampu memperoleh pendapatan sehingga ribuan ringgit sebulan. Daripada jumlah tersebut, sebahagian besarnya akan dikirimkan kepada keluarga mereka yang menetap di negara asal. Ini ditambah pula dengan keadaan negara kita yang aman dan makmur, telah menggalakkan mereka bertumpu ke Malaysia. Hal ini amat berbeza sekali dengan keadaan di negara asal mereka seperti Indonesia, Bangladesh dan Nepal yang kerap berlaku pergolakan politik dan peperangan. Justeru, walaupun banyak usaha yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia untuk mengekang kebanjiran pendatang asing ini, namun jumlah mereka semakin bertambah.
            Selain faktor di atas, kebanjiran penatang asing di negara kita turut disebabkan oleh permintaan yang tinggi terhadap buruh asing dari luar negeri oleh majikan di Malaysia. Hal ini kerana pendatang asing sanggup menerima upah yang lebih rendah berbanding dengan buruh tempatan. Keadaan ini ditembah pula oleh sikap pekerja tempatan yang lebih gemar memilih pekerjaan dengan gaji yang tinggi. Lebih menyulitkan keadaan, ada pihak di negara kita yang memberi perlindungan kepada pekerja asing sehingga menggalakkan mereka bertumpu di Malaysia. Ini menyebabkan pendatang asing berasa selamat bekerja di sini walaupun sebahagiannya tidak memiliki permit. Sikap negatif penduduk tempatan ini telah banyak menyebabkan operasi membanteras pekerja asing tanpa permit menemui kegagalan.
            Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang dikelilingi oleh lautan, keadaan pantainya yang terlalu luas menyebabkan kawalan daripada pihak berkuasa menjadi terhad. Sebagai contohnya, sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia menjadi kawasan pendaratan pekerja asing tanpa permit untuk bekerja di Malaysia. Tambah merumitkan keadaan, jabatan yang ditugaskan untuk mengawal kebanjiran pekerja asing itu masih mengalami kekurangan penguatkuasa bagi menjalankan rondaan dan serbuan. Situasi ini telah menyebabkan ramai pekerja asing yang memasuki negara kita secara tidak sah, bebas tanpa berjaya dikesan. Kebanyakan rondaan yang dilakukan gagal menemui pekerja asing tersebut yang sebahagian besarnya menjadikan Selat Melaka sebagai laluan yang selamat untuk ke negara kita.
            Oleh sebab itu,  jumlah mereka yang terlalu ramai telah memberi kesan yang amat parah, penguatkuasaan perlulah lebih kerap dilakukan. Untuk tujuan tersebut, kerajaan turut menggunakan tenaga RELA bagi menjalankan rondaan dan tangkapan terhadap pekerja asing tanpa permit. Mereka yang ditangkap akan ditempatkan di pusat-pusat tahanan sebelum didakwa dan dihantar pulang ke negara asal mereka. Usaha ini bukan sahaja memerlukan kos yang tinggi malah merugikan negara.

Contoh Jawapan :
            Petikan membincangkan sebab-sebab yang mendorong Malaysia menjadi tumpuan pekerja asing.
            Malaysia menjadi tumpuan pekerja asing disebabkan peluang pekerjaan yang lebih baik berbanding dengan di negara asal. Selain itu, mereka berkunjung ke Malaysia kerana banyak pekerjaandi sini memberi pendapatan yang tinggi. Pada Masa yang sama, negara kita yang aman, telah menggalakkan mereka bertumpu ke Malaysia. Faktor lain yang menggalakkan kedatangan mereka ialah permintaan yang tinggi terhadap buruh asing oleh majikan di Malaysia. Faktor yang turut mempengaruhi kehadiran mereka ialah ada pihak di negara kita memberi perlindungan kepada pekerja asing. Pantai Malaysia yang panjang juga menyukarkan pemantauan pekerja asing dilaksanakan.
            Kehadiran mereka telah menyebabkan peluang pekerjaan penduduk tempatan semakin terbatas. Malahan, jenayah membabitkan golongan ini semakin berleluasa di Malaysia.
            Kesimpulannya, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas agar jumlah pekerja asing dapat dikurangkan.
                                                                                                            (121 patah perkataan)















LATIHAN 3

Rumuskan punca lambakan barangan tiruan di Malaysia dan langkah mengatasinya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Barang-barang terkenal terutamanya yang berjenama terkenal telah berada di pasaran tempatan sejak beberapa tahun yang lalu. Gejala ini berterusan kerana memiliki barangan berjenama terkenal menjadi idaman kebanyakan orang yang mengutamakan prestij. Namun begitu, bukan semua orang mampu memiliki barangan yang berjenama kerana harganya yang mahal. Untuk memenuhi tuntutan kemahuan tersebut, maka segelintir anggota masyarakat beralih kepada barangan tiruan. Mereka berpendapat mutu barangan ciplak itu tiada bezanya daripada kualiti barangan asli.

            Penimbunan barangan tiruan itu disokong oleh pasaran globalisasi yang memudahkan barangan berkenaan memasuki negara kita. Barangan tiruan ini biasanya dibawa masuk melalui pintu sempadan dan pelabuhan dalam dua bentuk iaitu, separuh siap atau siap sepenuhnya. Barangan separuh siap akan melalui proses pembungkusan dan pelebelan sebelum memasuki pasaran. Dengan kemudahamn logistik, barangan ini dapat dihantar oleh pengedar ke sesuatu destinasi dengan cepat dan mudah. Pertambahan kontena barangan yang sampai di pelabuhan dan lapangan terbang menjadi satu cabaran kepada pihak berkuasa untuk mengenalpasti isinya. Keadaan ini bertambah rumit apabila para pengimport membuat perisytiharan palsu terhadap barangan itu. Kaedah lain yang digunakan oleh golongan tidak bertanggungjawab ini antaranya adalah melalui penghantaran cepat dengan perkhidmatan bas ekspres atau kereta api. Malah kecanggihan teknologi kini mengizinkan pesanan dan bayaran barangan dibuat melalui talian laman web yang dilayari oleh pelanggan.

            Modus operandi kegiatan pengedaran dan penjualan barangan tiruan dibuat secara tunai tanpa sebarang resit. Oleh itu, apabila serbuan dibuat ke atas penjual, maka pembekalnya tidak dapat dikesan. Sekalipun dikenali pembekalnya namun penjual tidak berani memaklumkannya kepada pihak berkuasa tentang identiti pembekalnya kerana hal ini membabitkan kegiatan sindiket dan mengancam nyawa mereka. Bagi para pengguna pula, mereka sukar membezakan antara barangan tiruan dengan barangan asli. Lebih-lebih lagi dengan penggunaan mesin canggih yang dapat menghasilkan bahan tiruan yang hampir menyerupai barangan tulen. Pada masa ini, barangan tiruan yang paling banyak di pasaran ialah pakaian, makanan, ubat-ubatan, alat ganti kenderaan, alat komunikasi, cakera optik dan perisian kompeter. Barangan ini laris di pasaran atas kecenderungan sebahagian pengguna yang tidak memperdulikan ketulenannya asalkan barangan itu berjenama dan murah.

            Penjualan barangan tiruan kian berleluasa kerana dipayungi oleh sindiket besar dengan modal yang banyak. Oleh sebab itulah kita dapati sekalipun barangan itu dirampas hari ini, namun keesokan harinya mereka boleh beroperasi semula kerana sumbernya mempunyai rangkaian perniagaan besar yang boleh bertukar ganti dan stok barangan tersebut mungkin berada di mana-mana sahaja.


Contoh Jawapan :
          Petikan membincangkan faktor yang menyebabkan lambakan barang-barang tiruan di Malaysia.
            Punca lambakan barang-barang tiruan di Malaysia ialah golongan yang tidak berkemampuan ingin memiliki barangan berjenama dengan memilih barangan tiruan. Selain itu, pasaran globalisasi memudahkan barangan tiruan memasuki Malaysia. Pada masa yang sama, teknologi terkini mengizinkan pesanan dan bayaran dibuat melalui talian laman web. Malahan, kegiatan pengedaran barangan tiruan boleh dibuat secara tunai menyebabkan serbuan dibuat menemui kegagalan. Faktor lain ialah pengguna sukar membezakan di antara barangan tiruan dengan barangan asli kerana bentuknya yang hampir sama. Faktor terakhir ialah penjualan barangan tiruan dilindungi oleh sindiket besar.
            Untuk mengatasinya, tindakan undang-undang yang tegas dikenakan kepada semua pihak yang terlibat. Masyarakat juga boleh melaporkan jenayah ini kepada pihak berkuasa tanpa rasa takut.
            Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama agar masalah pengedaran barang-barang tiruan dapat dibanteras.
                                                                                                            (120 patah perkataan )

SOALAN RUMUSAN BERSERTA JAWAPAN CADANGAN
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian tulis satu rumusan tentang langkah-langkah kerajaan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kegawatan ekonomi dan kesan-kesan pemulihan ekonomi kepada rakyat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Usaha membasmi kemiskinan tegar menjadi agenda utama kerajaan menjelang 2010. Bagi meringankan beban rakyat, usaha diambil dengan memperuntukkan RM214 juta bagi pelaksanaan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk tujuan pembasmian kemiskinan. Langkah ini juga akan memastikan agenda masyarakat penyayang terus diamalkan walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Kerajaan dalam usaha meringankan beban rakyat telah memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi pertama khusus untuk meningkatkan pemilikan rumah oleh rakyat. Oleh itu, bagi merangsang sektor perumahan kerajaan mencadangkan supaya pembeli diberi pelepasan cukai atas faedah pinjaman. Kerajaan juga telah membantu rakyat dengan menambah baik infrastruktur awam. Dalam hal ini, kerajaan telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta untuk menambah baik infrastruktur yang rosak serta menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian, menyelenggara dan membaik pulih pelbagai kemudahan dan prasarana awam. Bon Simpanan Kerajaan telah diterbitkan untuk menjanakan pendapatan rakyat. Bon ini bertujuan memberi peluang kepada rakyat untuk memperoleh pendapatan tambahan. Bon ini dibuka kepada setiap rakyat berusia 21 tahun ke atas dengan nilai minimum pelaburan sebanyak RM1,000.
Selain itu, kerajaan menaik taraf pelbagai kemudahan asas di luar bandar seperti bekalan elektrik dan air terutama di Sabah dan Sarawak. Usaha ini akan meningkatkan ekonomi rakyat melalui pengambilan kontraktor kecil dan pekerja tempatan di kawasan luar bandar. Di samping itu, pelbagai program dan projek dirancang oleh kerajaan untuk meningkatkan ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak seperti pembesaran Lapangan Terbang Sibu, Sarawak dan Projek Sistem Penghantaran Elektrik Kota Kinabalu, Sabah.
Kini, terdapat beberapa program mikrokredit tanpa cagaran disediakan oleh pelbagai pihak seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, AgroBank dan TEKUN. Program ini bertujuan untuk membantu peniaga kecil di bandar dan luar bandar. Kaedah lain yang dilaksanakan adalah dengan memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik seperti warga emas, golongan kurang upaya dan ibu tunggal. Bantuan yang diberikan adalah seperti program jaringan keselamatan sosial, bantuan kewangan dan bilangan tenaga kerja, meningkatkan kemudahan pusat penjagaan warga tua, memantapkan pengurusan rumah perlindungan wanita dan menambahkan kemudahan pusat asuhan kanak-kanak.
Bagi mengurangkan tanggungan orang ramai, kerajaan mengambil langkah pengecualian cukai yang diberikan atas bayaran pampasan kehilangan pekerjaan. Langkah ini diambil bertujuan untuk menjaga kebajikan pekerja yang diberhentikan. Di samping itu, kerajaan menggalakkan pihak bank untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman perumahan.
Kesimpulannya, kerajaan yakin usaha yang dirangka dan dilaksanakan adalah komprehensif dan menyeluruh untuk menghindarkan ekonomi negara daripada terjerumus dalam kancah kemelesetan yang mendalam sehingga memberi kesan kepada rakyatnya. Dengan landasan kukuh yang telah kita bina, kita yakin dapat mencipta kejayaan lebih besar
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana ‚‛Pakej RM60b Perkukuh Ekonomi Negara Hadapi Kegawatan Global’, Berita Harian, 11 Mac 2009)
(c) Peperiksaan Percubaan MRSM 2009
2.Panduan Isi
Pendahuluan
Petikan membincangkan usaha-usaha kerajaan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kegawatan ekonomi di negara ini @ Petikan membincangkan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat dalam menangani kegawatan ekonomi di negara ini.
Isi Tersurat
Langkah-langkah kerajaan meringankan beban rakyat:
1. Kerajaan melaksanakan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat.
2. Kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi pertama (khusus untuk
meningkatkan pemilikan rumah oleh rakyat).
3. Pembeli diberi pelepasan cukai atas faedah pinjaman.
4. Kerajaan menambah baik infrastruktur awam.
5. Kerajaan telah menerbitkan Bon Simpanan Kerajaan untuk menjana pendapatan rakyat.
6. Kerajaan menaik taraf pelbagai kemudahan asas di luar bandar.
7. Pelbagai program dan projek dirancang oleh kerajaan untuk meningkatkan ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak.
8. Pelbagai pihak menyediakan program mikrokredit tanpa cagaran.
9. Kerajaan memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik.
10.Kerajaan mengecualikan cukai atas bayaran pampasan kehilangan pekerjaan.
11.Kerajaan menggalakkan pihak bank untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman
perumahan.
Isi Tersirat
Kesan-kesan pemulihan ekonomi terhadap rakyat
1. Kehidupan rakyat akan lebih selesa/ Rakyat berpeluang membaiki ekonomi masing-masing.
2. Peluang pekerjaan terbuka luas untuk rakyat/ Pengangguran dapat dikurangkan
3. Rakyat tidak lagi meminjam wang secara haram/melabur skim cepat kaya.
4. Rakyat tidak mengalami tekanan/stres,
5. Rakyat tidak melakukan / mengadakan demonstrasi terhadap kenaikan harga barang. .
6. Kuasa beli rakyat terjamin/mampu berbelanja .
7. Rakyat terhalang daripada melakukan jenayah.
Kesimpulan
Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama menangani kemelut ekonomi negara agar rakyat dapat hidup dalam harmoni.
3.Jawapan Contoh
Petikan membincangkan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat dalam menangani kegawatan ekonomi di negara ini.
Antara langkah kerajaan menangani kegawatan ekonomi ialah mengambil langkah pemulihan dengan melaksanakan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat. Pakej rangsangan ekonomi pertama juga diperkenalkan sebagai langkah menangani krisis ekonomi. Kerajaan menambah baik infrastruktur awam dan menerbitkan Bon Simpanan Kerajaan untuk menjana pendapatan rakyat. Selain itu, kerajaan juga mengambil langkah menaik taraf pelbagai kemudahan asas di
luar bandar. Kerajaan memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik dan mengecualikan cukai atas bayaran pampasan kehilangan pekerjaan sebagai langkah lain menangani isu ini.
Kesan pemulihan ekonomi menjadikan kehidupan rakyat lebih selesa. Pengangguran dapat dikurangkan serta kuasa beli rakyat akan meningkat.
Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama menangani kemelut ekonomi negara agar rakyat dapat hidup dalam harmoni.

( 118 patah perkataan )

No comments:

Post a Comment